Harga barang naik: MPN tubuh 2 jawatankuasa cari penyelesaian

Harga barang naik: MPN tubuh 2 jawatankuasa cari penyelesaian

Dua jawatankuasa tindakan khas ditubuhkan bagi mencari dan mengenal pasti 'penyelesaian segera' menangani isu tenaga kerja pelbagai sektor dan masalah kecairan yang dihadapi PMKS.

Muhyiddin Yassin berpandangan sebuah jawatankuasa Kabinet wajar ditubuhkan untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
PETALING JAYA:
Majlis Pemulihan Negara (MPN) menubuhkan dua jawatankuasa bagi mencari penyelesaian kepada isu-isu yang menyebabkan kenaikan harga barang.

Pengerusinya Muhyiddin Yassin berkata, MPN memberi penekanan khusus kepada isu kekurangan tenaga kerja “yang meruncing” dalam pelbagai sektor dan masalah kecairan yang dihadapi perusahaan-mikro-kecil-dan-sederhana (PMKS) selepas meneliti ketidakupayaan penawaran memenuhi permintaan ketika ekonomi negara dibuka semula.

Katanya, MPN menubuhkan jawatankuasa tindakan khas yang diterajui Kementerian Sumber Manusia bagi mengenal pasti langkah-langkah penyelesaian segera yang boleh dilaksanakan bagi menangani isu tenaga kerja.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerajui jawatankuasa tindakan khas untuk mencari penyelesaian segera menangani isu kecairan yang dihadapi PMKS.

Laporan dan cadangan akan dibentangkan kepada MPN dalam mesyuarat akan datang, kata Muhyiddin.

“Saya juga berpandangan sebuah jawatankuasa Kabinet wajar ditubuhkan untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.

Data terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan meningkat sebanyak 12.3% pada September 2021, berbanding 9% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, kata Muhyiddin.

“Ini akan menyebabkan peningkatan inflasi untuk beberapa bulan akan datang…” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.