
Menjawab soalan Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran), Hanifah memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa beliau mengambil maklum cadangan Ahli Parlimen pembangkang itu dan Putrajaya akan mempertimbangkannya jika ada keperluan.
“Bagaimanapun penjenamaan (semula) itu tidak membawa apa-apa makna istimewa. Ia hanya sebagai rujukan mudah dan tidak menambah mahupun menolak sebarang keistimewaan bagi kedua-kedua negeri itu,” katanya.
Tangau bertanya sama ada Putrajaya akan mengkaji penjenamaan semula Sabah dan Sarawak sebagai “tanah besar Malaysia”, memandangkan ia merangkumi 60% keluasan negara.
Hanifah berkata, istilah “tanah besar Malaysia” tidak pernah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan mana-mana undang-undang sedia, dengan “Malaysia Timur” dan “Semenanjung Malaysia” adalah istilah utama yang digunakan.
“Takrifan sedemikian tidak merujuk kepada keluasan kawasan negeri-negeri di Malaysia Timur dan Semenanjung Malaysia, mahupun perbezaan dari segi kedudukan sebagai wilayah.
“Kerajaan berpandangan istilah sedia ada sudah memadai,” tambahnya.