Tiada alasan naikkan harga ais, kata PM

Tiada alasan naikkan harga ais, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan masih kekal tarif air dan elektrik.

Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan harga tidak sepatutnya berlaku dan pengeluar ais tidak mempunyai alasan kukuh untuk menaikkan harga. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Syarikat pengeluar ais tidak mempunyai alasan kukuh untuk menaikkan harga di pasaran, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas laporan mengenai peningkatan harga sebungkus ais sebanyak RM0.50 bermula hari ini, Ismail berkata, kenaikan tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan masih mengekalkan tarif air dan elektrik ketika ini.

“Harga ais tidak sepatutnya naik kerana kerajaan beri kemudahan bekalan air dan elektrik pada harga murah, tiada kenaikan,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga barangan keperluan di MyFarm Outlet Kasih, di sini.

Membandingkan alasan kenaikan harga roti yang berpunca daripada peningkatan harga gandum, Ismail berkata: “Negara kita tidak tanam gandum, kita import gandum. Jadi ia beri kesan pada harga roti.”

Berikutan rungutan pelbagai pihak, Ismail mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan kajian terperinci berhubung faktor kos pengeluaran.

“Kita (kerajaan) mahu maklumat bagi harga kos di setiap rantaian bekalan.

“Kerajaan tidak mahu rakyat terbeban dengan peningkatan harga barangan keperluan disebabkan faktor kos pengeluaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.