Saman antara Ain dan guru, kementerian bersalah, kata bekas timbalan menteri

Saman antara Ain dan guru, kementerian bersalah, kata bekas timbalan menteri

Teo Nie Ching berkata, situasi guru dan pelajar menyaman satu sama lain dapat dielakkan jika Menteri Pendidikan mewujudkan saluran sesuai untuk perbincangan dan pengantaraan.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, mangsa gangguan seksual di sekolah mungkin tidak berani bersuara, jika tiada tindakan diambil sekarang.
PETALING JAYA:
Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, menyalahkan Kementerian Pendidikan atas saman fitnah yang difailkan seorang guru terhadap bekas pelajarnya, Ain Husniza Saiful Nizam.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata, ia adalah tanda kegagalan pihak kementerian menangani situasi konflik antara guru dan pelajar secara matang serta bijaksana.

Katanya, jika Menteri Pendidikan mewujudkan saluran sesuai untuk perbincangan dan pengantaraan, situasi guru dan pelajar menyaman satu sama lain dapat dielakkan.

“Tetapi ini tidak dilakukan. Sejak permulaan, kementerian tidak mengambil tanggungjawab terhadap masalah itu, menyerahkan kepada polis dan bersikap acuh tak acuh,” katanya dalam kenyataan sambil menambah menteri dan pasukannya gagal menyelesaikan isu itu sebelum ia bertukar menjadi kes mahkamah.

Pada 26 Nov, guru sekolah menengah, Khairul Nizam Sanuddin memfailkan saman fitnah terhadap Ain dan bapanya, Saiful Nizam Abdul Wahab, berhubung dakwaan beliau membuat jenaka rogol dalam kelas pendidikan jasmani.

Khairul, 43, mendakwa Ain membuat kenyataan fitnah terhadapnya di akaun media sosialnya antara 23 dan 24 April lalu serta temubual media dari 26 April hingga 26 Jun.

Teo berkata, keseluruhan kejadian itu menunjukkan Menteri Pendidikan gagal menjadikan sekolah tempat selamat bukan hanya untuk Ain, tetapi semua pelajar dan Ain terpaksa berpindah ke sekolah swasta untuk meneruskan pelajarannya.

“Ini hanya menunjukkan sistem itu gagal dan kita sebagai orang dewasa gagal menjalankan tanggungjawab terhadap kanak-kanak sepertinya.

“Menteri perlu mendapatkan nasihat pakar dan mengkaji semua SOP serta dasar sedia ada mengenai penyiasatan dan menangani kes gangguan seksual di sekolah serta institusi pendidikan secara serius,” katanya sambil menambah mangsa yang bersuara perlu dilindungi dan sistem tidak boleh direka untuk menghukum individu yang berani tampil.

Beliau berkata, hak Ain untuk bersuara serta menyuarakan pandangan perlu dihormati dan berdasarkan perkembangan terbaharu itu, mangsa gangguan seksual di sekolah atau institusi pendidikan mungkin tidak berani bersuara.

“Saya juga mahu menekankan Kementerian Pendidikan tidak menangani masalah utama, iaitu guru memerlukan latihan holistik dan pembinaan kapasiti untuk meningkatkan pemahaman mereka terhadap konsep sekolah selamat.

“Konsep sekolah selamat bukan sahaja memfokuskan keselamatan fizikal, tetapi juga merangkumi keselamatan dari segi mental dan emosi pelajar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.