Kereta mendiang suami hilang, balu dapat pampasan insurans RM85,000

Kereta mendiang suami hilang, balu dapat pampasan insurans RM85,000

Mahkamah Rayuan memutuskan Loh Swee Liang berjaya membuktikan kesnya berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa kereta itu telah dicuri.

Mahkamah Rayuan memerintahkan AM General Insurance membayar faedah 5% setahun bermula 3 Julai 2018 sehingga penghakiman selesai.
PUTRAJAYA:
Sebuah syarikat insurans diarahkan membayar ganti rugi RM85,000 kepada seorang balu selepas wanita itu menang rayuan terakhir berkaitan kehilangan kereta suaminya, yang berlaku tidak lama selepas kematian lelaki itu, tiga tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan Loh Swee Liang telah membuktikan kes berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa kereta itu telah dicuri.

Zabidin yang bersidang bersama M Nantha Balan dan Darryl Goon Siew Chye, memerintahkan AM General Insurance membayar faedah 5% setahun, mulai 3 Julai 2018 sehingga penghakiman diselesaikan.

Loh yang diwakili peguam James Ee turut menerima kos berjumlah RM30,000.

Mahkamah Majistret pada Julai 2020 menolak tuntutannya kerana tiada bukti dikemukakan bahawa kereta yang hilang itu telah dicuri.

Keputusan itu disahkan Mahkamah Tinggi dan turut mendapati polis tidak menahan pencuri untuk mendapatkan semula kereta itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Loh berkata, pada 3 Julai 2018, suaminya Tay Guan Song memandu keretanya dari Kondominium Prima Duta ke Kondominium Changkat View untuk membersihkan premis itu selepas penyewa mereka keluar dari unit itu.

Katanya, Tay, 37 tidak menjawab telefon walaupun Loh menghubunginya berulang kali pada hari berkenaan.

Beliau pergi mencari suaminya itu di Changkat View namun menemuinya telah meninggal dunia dan laporan bedah siasat menunjukkan kematian itu akibat serangan jantung.

Selepas selesai pengebumian Loh menyedari kereta Tay hilang seterusnya telah membuat laporan polis.

Beliau membuat laporan polis ketiga pada 1 Sept 2018 dan kemudian mengemukakan tuntutan dengan syarikat insurans, tetapi ditolak kerana tidak dapat membuktikan kereta itu telah dicuri.

Dalam kenyataannya, Loh berkata, beliau telah menyoal saudara mara dan rakan Tay untuk memastikan sama ada sesiapa telah meminjam kereta itu.

Malah, beliau turut memeriksa dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Majlis Bandaraya Shah Alam untuk mengesan sama ada kereta berkenaan telah ditunda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.