Kenderaan elektrik: Giat usaha tarik minat pengguna, pelabur, kata pakar

Kenderaan elektrik: Giat usaha tarik minat pengguna, pelabur, kata pakar

Bagi menjadikan Malaysia hab EV, kerajaan perlu menyediakan infrastruktur lebih baik, insentif cukai, dan menjadikannya mampu milik.

Kerajaan disarankan membangunkan infrastruktur untuk EV seperti stesen pengecasan yang mudah didapati, selain menjadikannya mampu milik. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Walaupun kenderaan elektrik (EV) mungkin menjadi topik hangat sekarang, ia juga mungkin tidak akan menjadi popular melainkan kerajaan menggiatkan usaha untuk menjadikannya mudah guna dan mampu milik, kata pakar.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik & IoT Malaysia (MARii) Madani Sahari percaya EV kini adalah lebih kepada pilihan gaya hidup, bukannya pengganti kenderaan biasa.

Beliau berkata, pembuatan EV sangat berbeza dengan pembuatan kenderaan biasa.

“Walaupun pengalaman dan bakat yang ada dalam ekosistem Malaysia masih relevan dengan pembangunan EV, ia memerlukan pengembangan perniagaan baharu kepada barisan produk dan perkhidmatan yang berasingan untuk memenuhi pasaran EV,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, insentif pengembangan perniagaan melalui pemasangan kenderaan, pembuatan komponen atau aktiviti selepas jualan adalah penting bagi merangsang pertumbuhan pasaran EV.

Beliau mengulas artikel wartawan automotif veteran Yamin Vong, yang berkata, industri EV memberi peluang kepada Malaysia untuk menjadi hab automotif bagi negara-negara ASEAN.

Yamin berkata, Malaysia tidak seharusnya melepaskan peluang EV yang banyak bergantung kepada semikonduktor dan perisian, dua perkara yang membuatkan Malaysia dikenali.

Presiden Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC) Shahrol Halmi turut berkata, walaupun kenderaan elektrik boleh menjadi pengganti yang berdaya maju bagi kenderaan biasa, faktor ekonomi pengguna perlu diambil kira.

“Membeli EV perlu masuk akal. Membeli, menjalankan dan menyelenggaranya tidak wajar memakan kos lebih tinggi daripada kenderaan petrol atau diesel,” katanya.

Beliau berkata, walaupun EV lebih mahal daripada kenderaan biasa dari segi pembuatan, kos bateri dan penyelenggaraan, kerajaan harus memberi lebih banyak pelepasan cukai dan subsidi sebagai insentif kepada orang ramai untuk beralih kepadanya.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan lebih telus dengan data industri, sama seperti Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura yang menerbitkan maklumat bulanan mengenai kenderaan yang didaftarkan di republik itu, termasuk jenis bahan api, model dan jenama.

“Data yang lebih baik mengurangkan risiko perniagaan dan ini meningkatkan daya tarikan bagi pelabur,” katanya.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Aishah Ahmad berkata, kerajaan perlu membangunkan infrastruktur untuk EV seperti stesen pengecasan yang mudah didapati, selain menjadikannya mampu milik.

“Untuk Malaysia menjadi hab EV ASEAN, kerajaan harus terus menyediakan insentif cukai dan mempunyai dasar EV yang adil kepada semua pengeluar untuk menarik pelabur berpotensi ke Malaysia,” katanya kepada FMT.

Beliau juga berkata, insentif EV jangka panjang yang setanding atau lebih baik daripada negara ASEAN lain boleh membantu menarik pelabur.

“Jualan EV juga perlu cukup tinggi untuk menjadikannya berdaya maju bagi pelabur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.