Cadangan penjenamaan wilayah Sabah, Sarawak sebagai tanah besar antara tumpuan Dewan Rakyat

Cadangan penjenamaan wilayah Sabah, Sarawak sebagai tanah besar antara tumpuan Dewan Rakyat

Persidangan kemudian diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Persoalan sama ada kerajaan bercadang untuk menjenamakan wilayah Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia (198,354km2 atau 60% daripada keluasan tanah Malaysia) dijangka ditanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu diajukan Madius Tangau (UPKO-Tuaran) kepada Perdana Menteri memandangkan Federation of Malaya (132,265km2 hanya 40% daripada tanah Malaysia) sudah sekian lama dinamakan sebagai Semenanjung Malaysia.

Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) pula akan mengajukan soalan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air mengenai perkembangan terkini projek pembinaan tebatan banjir di tepi Sungai Golok yang melibatkan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang meminta Perdana Menteri mengesahkan sekiranya data yang dikumpul oleh Jabatan Perangkaan menggambarkan situasi sebenar kepelbagaian dimensi kemiskinan yang wujud di negara ini.

Selepas sesi itu, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Semalam, sesi perbahasan peringkat jawatankuasa melibatkan Kementerian Pembangunan, Usahawan dan Koperasi dengan Dewan Rakyat meluluskan peruntukan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 sebanyak RM195,036,300 dan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM835,666,800 yang diperuntuk kepada Kementerian Sumber Manusia dalam Bajet 2022 dengan lebih suara menyokong.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.