Rayuan terhadap saman Indira Gandhi didengar April

Rayuan terhadap saman Indira Gandhi didengar April

Indira Gandhi dalam samannya mendakwa tiada tindakan dalam melaksanakan waran terhadap bekas suami kerana menghina mahkamah.

Kerajaan dan polis mahu membatalkan saman M Indira Gandhi yang mendakwa ia gagal mematuhi perintah mahkamah untuk mengesan bekas suami bagi menyerahkan anak perempuannya.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan pada 18 April akan mendengar rayuan kerajaan dan polis terhadap keputusan mahkamah rendah mengekalkan saman M Indira Gandhi terhadapnya berhubung dakwaan tiada tindakan dalam melaksanakan waran untuk menangkap bekas suami Indira kerana menghina mahkamah.

Peguam Indira, Rajesh Nagarajan, memaklumkan bahawa mahkamah menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes hari ini. Kerajaan diwakili Jabatan Peguam Negara dalam tindakan sivil ini.

Awal tahun ini, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan saman oleh Indira dibicarakan memandangkan terdapat isu yang harus didengar dalam perbicaraan penuh.

Indira dalam saman yang dibuat tahun lepas itu mendakwa tiada tindakan polis dalam melaksanakan waran tangkap terhadap Muhammad Riduan Abdullah. Beliau menuntut ganti rugi dan pengisytiharan bahawa Ketua Polis Negara melakukan “tort nonfeasans” di pejabat awam.

Mahkamah pada 2016 memerintahkan KPN melaksanakan waran komital terhadap Riduan selepas bekas suami Indira itu didapati menghina mahkamah kerana enggan menyerahkan anak mereka, Prasana, kepada Indira.

Prasana diambil daripada ibunya pada 2010.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.