
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Mohd Afzanizam Yahaya berkata, polis turut menahan dua lelaki tempatan berumur 27 dan 34 tahun.
Beliau berkata, serbuan antara 11.30 pagi hingga 12 tengah malam itu turut membongkar stor haram dadah sindiket berkenaan.
“Ketika penahanan dibuat terhadap dua suspek itu, turut dirampas sejumlah rampasan dadah jenis ganja, heroin, serbuk dan pil ekstasi.
“Hasil tindakan susulan, polis berjaya membongkar stor penyimpanan dadah jenis ganja dan heroin. Modus operandi sindiket dadah ini adalah menyewa rumah berpagar dan berpengawal untuk penyimpanan dan pembungkusan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut dirampas dua kereta jenis Honda CRV dan Toyota Camry; tiga motosikal jenis Yamaha iaitu LC135, RXZ dan 125; serta wang tunai RM2,644 dan SGD146 (RM449).
Afzanizam berkata, pemeriksaan lanjut mendapati sindiket itu beroperasi sejak awal Julai lalu.
“Dengan tertangkapnya dua individu itu, polis berjaya membuat rampasan dadah, iaitu 29 ketulan ganja seberat 29.5kg, 21 bungkusan plastik lutsinar heroin seberat 10.5kg, 996 pil ekstasi seberat 299g,” katanya.