
Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata, saksi pendakwaan telah memberi keterangan bahawa mereka tidak pernah memberi suapan kepada tertuduh kerana pembayaran yang dibuat kepada yayasan itu adalah sumbangan politik serta kebajikan dan ini disokong oleh dokumen kewangan.
“Berdasarkan cara transaksi yang dibuat, tidak terdapat unsur rasuah. Saksi pendakwaan juga berkata mereka tidak pernah memberi rasuah kepada tertuduh.
“Apapun kesemua saksi ini (Abu Hanifah Noordin dan Chew Ben Ben) kekal konsisten,” katanya.

Hisyam berkata demikian dalam hujah balas pada akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Beliau juga berkata, pembayaran yang dibuat melalui cek tidak pernah masuk ke akaun bank peribadi tertuduh, sebaliknya dibuat kepada akaun Tetuan Lewis & Co iaitu firma guaman yang dikenal pasti sebagai pemegang amanah yayasan kebajikan itu.
“Kami menyifatkan semua transaksi ini sebagai transaksi terbuka, tidak ada unsur kerahsiaan, ia telah diteliti/’scrutinised’… cek terbabit juga boleh dikesan.
“Semua pembayaran telah diterima dalam bentuk cek, bukan tunai, ia tidak dibuat secara senyap-senyap atau dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak wasangka,” katanya sambil menambah transaksi terbabit juga telah diaudit oleh juruaudit luar dan dalam.
Prosiding hari ini bagaimanapun dipendekkan kerana Ahmad Zahid mempunyai janji temu bagi mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 petang ini.
Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.