Murid sekolah rendah wajib disaring Covid-19 mulai Isnin, kata menteri

Murid sekolah rendah wajib disaring Covid-19 mulai Isnin, kata menteri

Khairy Jamaluddin berkata, ujian saringan itu akan dijalankan secara mingguan.

Ujian saringan Covid-19 perlu dilaksanakan ke atas sekurang-kurangnya 10% populasi murid di sesebuah sekolah, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
PETALING JAYA:
Murid sekolah rendah wajib bergilir-gilir menjalani ujian saringan Covid-19 secara mingguan mulai Isnin ini bagi mengelakkan berlaku kluster pendidikan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ujian itu sebahagian daripada Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan memandangkan golongan itu di bawah usia kelayakan menerima vaksin.

“Ujian ini perlu dilaksanakan ke atas sekurang-kurangnya 10% sampel daripada populasi murid di sesebuah sekolah,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, tujuan melakukan ujian saringan secara bergilir-gilir ke atas sampel berbeza setiap minggu bertujuan melihat jika wujud kesan gejala atau sebaliknya.

“Kalau bergejala, sudah tentu mesti buat ujian, tetapi kalau tidak bergejala pun, di sekolah rendah, mesti buat ujian sampel daripada populasi pelajar bagi memastikan tidak wujud kluster di peringkat sekolah.”

Berdasarkan strategi itu, murid terbabit akan menjalani ujian kendiri Covid-19 yang dipantau institusi sekolah.

Dalam pada itu, Khairy berkata, penjaga dan pelawat dibenarkan melawat pesakit di semua kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) berkuat kuasa serta-merta, tetapi hanya untuk beberapa kategori pesakit.

“Sebagai contoh, pesakit menghidap penyakit kritikal dan memerlukan penjagaan, pesakit tenat, kurang upaya, warga emas, yang memerlukan bantuan komunikasi membabitkan pesakit kanak-kanak, ibu dalam proses bersalin dan sebagainya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.