KPDNHEP belum dimaklumkan kenaikan harga produk Gardenia, kata timbalan menteri

KPDNHEP belum dimaklumkan kenaikan harga produk Gardenia, kata timbalan menteri

Rosol Wahid berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada benar atau tidak produk itu akan dinaikkan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) belum dimaklumkan mengenai sebarang kenaikan harga roti dan ban Gardenia.

Timbalan Menterinya, Rosol Wahid berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada benar atau tidak produk itu akan dinaikkan harga.

“Kita pun baru dapat maklumat, harga roti Gardenia dikatakan akan naik bermula 1 Dis ini.

“Kita sedang siasat sama ada betul atau tidak. Sehingga hari ini dia (Gardenia) belum maklumkan kepada kementerian untuk naikkan harga tersebut,” katanya pada sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di peringkat jawatankuasa bagi KPDNHEP di Dewan Rakyat.

Terdahulu, tular harga runcit dan pengguna bagi pelbagai produk roti dan ban Gardenia akan dinaikkan mulai 1 Disember.

Harga baharu Gardenia Original Classic 400g adalah RM2.80 sebuku (naik daripada RM2.50), Gardenia Original Classic Jumbo 600g RM4 (naik daripada RM3.55), dan Gardenia Bran & WheatGerm 400g RM2.90 (naik daripada RM2.50).

Selain itu, harga Gardenia Fluffy Buns akan naik kepada RM3.70, dan Gardenia Puazz Buns kepada RM1.30.

Dalam surat kepada peruncit, syarikat itu berkata, semakan harga itu disebabkan peningkatan kos bahan mentah dan caj pengangkutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.