
Bercakap kepada FMT, Kiandee berkata tindakan Adun Kuala Ketil daripada PAS tidak boleh diterima.
“Palui (bodoh). Malukan diri sendiri,” kata Ahli Parlimen Beluran yang juga calon PN bagi DUN Sugut.
Pada sidang DUN Kedah kelmarin, Mansor dipetik berkata: “Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja.”
Mansor mengungkapkan kenyataan itu ketika menjawab kritikan terhadap kerajaan Kedah berhubung isu kenaikan cukai taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Dakwanya, isu itu turut menjadi bahan kempen PRN Sabah untuk memburukkan PAS.
Mansor kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataan selepas dikritik ramai.
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, memuji tindakan Mansor yang berani memohon maaf atas ucapannya dan menganggap tindakan itu sebagai berjiwa besar.
PAS kini dalam misi meraih kerusi pertama di Sabah dengan ada berpandangan parti itu mempunyai peluang di DUN Karambunai.
PRN Sabah akan bermula esok dengan penamaan calon diikuti undi awal pada 25 Nov dan pengundian empat hari kemudian.