Harga roti putih kekal, Gardenia jawab mesej tular

Harga roti putih kekal, Gardenia jawab mesej tular

Gardenia berkata harga roti putih, roti gandum penuh, dan roti Toastem kekal.

Gardenia Bakeries KL berkata hanya harga bagi produk terpilih disemak, manakala harga roti putih kekal.
PETALING JAYA:
Gardenia mengumumkan bahawa harga bagi makanan asas iaitu roti putih, roti gandum penuh (wholemeal), dan roti Toast’em keluaran syarikat itu kekal, susulan mesej tular di media sosial.

Terdahulu, tular mesej menyentuh harga barangan Gardenia mulai 1 Okt berserta senarai harga beberapa produk syarikat terkenal itu. Tiada roti putih, roti gandum penuh, atau roti Toastem dalam senarai itu yang kebanyakannya kudapan.

Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd berkata hanya harga bagi produk terpilih disemak.

“Gardenia Kuala Lumpur telah menyemak semula harga bagi produk-produk terpilih berkuat kuasa 1 Okt ini. Bagaimanapun, harga roti putih, roti gandum penuh dan roti Toast’em kekal untuk memastikan kenaikan ini tidak membebankan majoriti pelanggannya,” katanya.

FMT dimaklumkan semakan harga bagi produk terpilih itu untuk seluruh negara.

Pada September tahun lalu, Gardenia menaikkan harga roti keluarannya ekoran impak inflasi ke atas bahan mentah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.