
Suzana Adzmin@Azmin, 48, selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap defendan, Abd Rahim Hussin, 56, melalui Tetuan Alias Ibrahim & Co pada 13 Nov.
Suzana berkata, dia mengambil tindakan itu selepas mendapat maklumat bahawa defendan dipercayai merupakan antara individu bertanggungjawab dalam urusan menaikkan tiga kain rentang berbaur fitnah terhadapnya dalam kawasan sebuah kampung di Wakaf Bharu pada 25 Jun, 3 Julai dan 22 Ogos lalu.
Katanya, tulisan dalam kain rentang itu menyatakan bahawa dia merupakan guru besar yang menghasut orang, pilih kasih, memutar belit fakta, menyalah guna wang sekolah selain meminta dia ditukarkan ke sekolah lain.
“Semua dakwaan itu tidak benar apabila pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan telah menjalankan siasatan kewangan dan integriti di sekolah sebelum mendapati saya tidak terlibat dalam sebarang kes salah guna kuasa.
“Saya pernah menegur ahli jawatan kuasa PIBG mengenai hal ehwal pengurusan persatuan itu dalam mesyuarat sebelum ini. Mungkin itu menjadi motif YDP PIBG menaikkan kain rentang berbaur fitnah ditujukan kepada saya,” katanya menurut laporan Kosmo.
Suzana berkata, susulan kejadian itu dia diarahkan untuk berada di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat selama 86 hari tanpa berbuat apa-apa sepanjang tempoh berkenaan sehingga tidak dapat melaksanakan tugasnya di sekolah seperti sedia kala.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dia malu berdepan masyarakat malah ada dalam kalangan rakan melarikan diri selepas mempercayai fitnah disampaikan menerusi kain rentang tersebut.
“Kejadian itu juga menjadikan emosi saya tidak stabil malah pakar psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian mengesahkan saya mengalami tekanan perasaan yang melampau.
“Selepas kejadian itu, saya telah mendapat arahan untuk ditukarkan ke sebuah sekolah di daerah sama dan akan memulakan semula tugas pada Ahad ini. Keadaan itu amat mengelirukan apabila saya sendiri masih belum sempat menabur bakti di sekolah lama akibat perintah kawalan pergerakan berterusan tahun ini, namun telah ditukarkan ke sekolah lain,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, saman RM500,000 difailkan terhadap defendan bertujuan untuk membersihkan semula namanya, ganti rugi teladan dan segala kesan buruk dialaminya akibat sebaran fitnah.