Lari daripada polis, lelaki dikhuatiri lemas terjun laut

Lari daripada polis, lelaki dikhuatiri lemas terjun laut

Polis berkata sekumpulan lelaki bertempiaran lari dan ada yang terjun ke laut selepas melihat kehadiran pasukan keselamatan itu.

Polis mengesahkan seorang lelaki dikhuatiri lemas dan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
KEPALA BATAS:
Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke laut ketika cuba melarikan diri daripada polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Kompleks Pasar Bisik Ikan, Kota Kuala Muda, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Mohd Radzi Ahmad, berkata ketika kejadian kira-kira 3 pagi itu, sepasukan polis dari Balai Polis Kepala Batas membuat pemeriksaan di kawasan tersebut kerana terdapat sekumpulan lelaki berkumpul di situ.

“Bagaimanapun, kumpulan lelaki itu bertempiaran lari apabila melihat kehadiran polis dan ada antara mereka yang terjun ke laut berhampiran kompleks tersebut.

“Setakat ini, disahkan seorang lelaki dikhuatiri lemas dan usaha sedang dibuat untuk mencari mangsa dengan bantuan pihak bomba,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Yusni Manshor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.32 pagi dan bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Kami menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dan operasi SAR turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air JBPM. Pusat Kawalan Bomba juga telah dibuka di lokasi kejadian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.