Mayat bayi membusuk ditemukan di batas bendang

Mayat bayi membusuk ditemukan di batas bendang

Ketua Polis Daerah Kerian Mazuki Mat berkata status bayi itu hidup atau mati ketika dilahirkan tidak dapat dipastikan susulan organ dalaman sudah hancur.

Mayat bayi itu ditemui tanpa pakaian oleh pemilik tanah, kata Ketua Polis Daerah Kerian Mazuki Mat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mayat bayi perempuan ditemui dalam keadaan membusuk di batas sawah padi berhampiran Lorong Taman Serai Muda ke Kampung Padri, Bagan Serai.

Ketua Polis Daerah Kerian, Mazuki Mat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu pada 8.35 pagi, semalam.

“Mayat bayi itu ditemui pemilik tanah ketika melalui kawasan berkenaan pada 8.30 pagi. Keadaan mayat ketika ditemui tanpa sebarang pakaian, mula membengkak dan membusuk.

“Menurut pemilik tanah, kali terakhir dia melalui kawasan itu pada 4.30 petang kelmarin ketika melakukan kerja membaja sawah namun tidak menemui mayat itu,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, tiada sebarang dokumen, kain balutan atau kesan ditemui di sekitar tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

Mazuki berkata, status bayi itu hidup atau mati ketika dilahirkan juga tidak dapat dipastikan susulan organ dalaman sudah hancur, selain punca kematian belum dapat dipastikan.

Katannya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu polis atau menghubungi talian Hotline IPD Kerian di talian 05 721 5222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.