6 ditahan, rumah setinggan bertukar makmal dadah

6 ditahan, rumah setinggan bertukar makmal dadah

Polis berkata, empat warga tempatan dan dua lelaki asing itu bergerak aktif sejak Julai lepas.

Polis berkata, enam suspek berusia 21 hingga 38 tahun itu ditahan dalam serbuan di Batu 3 1/2 dan Kampung Udara dekat Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban pada Rabu lalu.
PETALING JAYA:
Tindakan sindiket dadah menjadikan rumah setinggan sebagai tempat memproses dan membungkus pelbagai jenis bahan terlarang tumpas, selepas polis menahan enam lelaki dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang, Rabu lepas.

Semua suspek berusia 21 hingga 38 tahun itu ditahan dalam serbuan di Batu 3 1/2 dan Kampung Udara, berhampiran Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, dekat sini, oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Yahaya Othman berkata, suspek yang terdiri daripada empat warga tempatan dan dua lelaki asing itu didapati bergerak aktif sejak Julai lepas.

Beliau berkata, sindiket itu menjadikan premis sebagai makmal memproses dan membungkus dadah jenis ganja seberat 58kg, heroin (11kg), ganja (2.6kg) dan kafein (50kg).

“Selain itu, polis turut menjumpai pelbagai peralatan dan perkakasan memproses dadah, serta merampas tiga kereta jenis Myvi, Alza dan Bezza.

“Dadah yang diproses sindiket ini adalah untuk pasaran tempatan dan polis sedang menyiasat sama ada sindiket ini mempunyai kaitan dengan kongsi gelap,” katanya dipetik Bernama pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Yahaya berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sumber sindiket itu memperoleh bahan terlarang tersebut.

“Daripada enam suspek yang ditahan, dua mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan hanya seorang positif dadah.”

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan RM419,920, manakala sitaan harta berjumlah RM119,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata, semua suspek direman tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan dan pihaknya sedang memburu saki-baki ahli sindiket terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.