
Beliau berkata pendekatan itu penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing.
“Sehubungan itu saya memohon agar pihak Jabatan Perdana Menteri memastikan dasar perolehan ini diperkukuhkan bagi meningkatkan keyakinan pelabur luar dan juga tempatan meneruskan aktiviti ekonomi di Malaysia yang dilihatkan sebagai meleset.
“Sekiranya dasar ini tidak dipraktikkan saya bimbang unsur ketirisan akan terus berlaku di dalam pengurusan pelaksanaan projek kerajaan,” katanya ketika dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Mengambil contoh projek Landasan Berkembar Lembah Klang (Fasa 2) atau KVDT2 yang kini sedang melalui pelbagai proses perundangan, Redzuan mengingatkan kerajaan bahawa pembatalan projek akan menyebabkan perbelanjaan yang lebih besar.
Katanya, ini kerana pembatalan projek akan melibatkan kos yang tinggi membabitkan kos perundangan, pampasan, dan juga kos perolehan kontrak yang baru.
Kes mahkamah projek KVDT2 melibatkan pertikaian antara pihak kontraktor dengan Kementerian Pengangkutan.
Projek itu telah ditangguhkan dua kali sejak 2017. Ia telah dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan sebelum dilaksanakan semula, namun sekali lagi dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional selepas itu. Susulan itu kontraktornya Dhaya Maju-LTAT memfailkan saman.
Sehubungan itu beliau menyarankan kerajaan untuk lebih konsisten dengan dasar yang telah digubal dan budaya pembatalan kontrak atau SST perlu dikikis kerana ia jelas memberi kesan terhadap pelabur-pelabur luar yang melabur di dalam negara.