Bapa menang rayuan masukkan nama dalam sijil kelahiran anak luar nikah

Bapa menang rayuan masukkan nama dalam sijil kelahiran anak luar nikah

Mahkamah Persekutuan berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempunyai tugas statutori untuk mengekalkan rekod yang tepat dan benar.

Butiran yang ditetapkan dalam daftar kelahiran mesti direkodkan dan kesilapan atau maklumat tidak dimasukkan yang “ditemui” selepas itu boleh diperbetulkan, menurut hakim Mahkamah Persekutuan. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Seorang bapa dibenarkan memasukkan namanya dalam sijil kelahiran anaknya yang tidak sah taraf selepas membuktikan hubungan mereka menerusi ujian paterniti DNA.

Hakim Mahkamah Persekutuan Mary Lim Thiam Suan yang menyampaikan penghakiman setebal 30 muka surat minggu lalu berkata, ia adalah tugas statutori Ketua Pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk bertindak sebagai penyimpan rekod.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan hakim Mohamed Zawawi Salleh yang juga menganggotai panel hakim itu membenarkan rayuan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai LFK, pada 30 Sept.

Dalam kes yang difailkan pada 2015, LFK dan seorang wanita berkahwin, LCY, telah bersekedudukan hingga menyebabkan kelahiran anak luar nikah.

Bagaimanapun, kedua-duanya berpisah apabila bayi itu dilahirkan.

Wanita itu meninggalkan rumah yang dikongsi mereka di Selangor dan pulang ke Negeri Sembilan bersama bayi terbabit.

Dia kemudiannya mendaftarkan kelahiran bayi itu namun tidak memasukkan nama bapanya dan ruangan itu hanya menyatakan “maklumat tidak diperolehi”.

Selepas itu, LFK memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya ujian DNA dilakukan untuk membuktikan dia adalah bapa kepada bayi itu.

Lelaki terbabit turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah kepada JPN untuk memperbetulkan rekod berkenaan dengan memasukkan namanya dalam sijil kelahiran anak itu.

Permohonan berkenaan dibantah oleh wanita itu dan JPN menjelaskan bahawa ia memerlukan persetujuan daripada si ibu, berdasarkan tafsiran Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.

Dalam penghakiman itu Lim berkata, JPN mempunyai tugas statutori untuk mengekalkan rekod yang tepat dan benar.

“Kita ingin mengingatkan bahawa tujuan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 adalah untuk pendaftaran kelahiran dan kematian,” katanya.

Lim berkata, daftar itu bertujuan menjadi sumber atau sebagai tempat simpanan data kasar populasi negara, bukan menunjukkan fakta keibubapaan secara muktamad.

Katanya, maklumat dalam daftar itu mempunyai kesan yang meluas kerana sijil kelahiran adalah penting untuk kehidupan dan mata pencarian seseorang.

Lim berkata, butiran yang ditetapkan dalam daftar kelahiran mesti direkodkan dan kesilapan atau maklumat tidak dimasukkan yang “ditemui” selepas itu boleh diperbetulkan.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 28 akta itu, JPN mempunyai tugas untuk mendapatkan maklumat paling tepat dengan segala cara dan kuasa yang ada.

“Ketua Pendaftar akan gagal dalam melaksanakan tugas statutorinya sekiranya beliau tidak memperbetulkan rekod ini,” katanya.

Mahkamah Persekutuan juga melihat wujud keperluan untuk meminda akta itu bagi memenuhi keperluan pada abad ke-21 mengikut kemajuan teknikal dan saintifik dalam menentukan paterniti.

Peguam Balwant Singh Sidhu dan Kelvinder Singh Sidhu mewakili si bapa manakala Ng Kiam Nam mewakili si ibu. Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan, S Narkunavathy dan M Kogilambigai Muthusamy pula mewakili kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.