Banjir kilat landa Ampang, air naik hampir 1m

Banjir kilat landa Ampang, air naik hampir 1m

Keadaan bagaimanapun sudah beransur surut, kata bomba.

Kesan banjir kilat yang melanda Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan di Ampang hari ini (Gambar JPBM Selangor)
PETALING JAYA:
Beberapa lokasi di Ampang berhampiran ibu negara dilanda banjir kilat dengan air meneggelamkan kawasan sedalam hampir satu meter berikutan hujan lebat sejak 6 petang tadi.

Antara kawasan yang terbabit adalah Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.19 malam.

Katanya, seramai 22 pegawai dan anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati berlaku banjir kilat pada paras pinggang (anggaran kira-kira satu meter) susulan hujan lebat.

“Kami difahamkan terdapat tiga mangsa berjaya diselamatkan pihak bomba dan kerja menyelamat sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini lapor Harian Metro.

Norazam berkata, keadaan air ketika ini dilaporkan sudah mulai surut, dan kerja -kerja menyelamat masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima panggilan kecemasan berhubung banjir kilat di Lorong Hillview 2E, Taman Hillview, di sini, pada 7.19 malam.

“Dalam kejadian ini, berlaku limpahan air di longkang berhampiran lokasi menyebabkan banjir kilat pada kedalaman kira-kira 0.3 meter.

“Bagaimanapun, banjir kilat di lokasi berkenaan semakin surut dan kejadian itu tidak membabitkan mangsa serta harta benda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.