Siakap RM1,196.80: KPDNHEP rujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya

Siakap RM1,196.80: KPDNHEP rujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Rosol Wahid berkata, kertas siasatan dibuka kerana peniaga gagal menyelenggara dan menyimpan dokumen wajar dalam pengendalian perniagaan.

PETALING JAYA:
Kes pemilik restoran terapung di Langkawi yang didakwa mengenakan caj terlampau iaitu RM1,196.80 bagi seekor ikan siakap seberat 7.48kg akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Rosol Wahid berkata, kertas siasatan di bawah Seksyen 53(A) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dibuka kerana peniaga berkenaan gagal menyelenggara dan menyimpan dokumen wajar dalam pengendalian perniagaan.

“Jika sabit kesalahan peniaga boleh dikenakan denda RM100,000 bagi kesalahan pertama dan RM250,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya menurut laporan Bernama.

Bagaimanapun, katanya, ketiadaan dokumen lengkap seperti kos operasi dan kos lain daripada peniaga itu menyebabkan siasatan di bawah kesalahan pencatutan mengikut Seksyen 21 (AKHAP) tidak dapat dijalankan.

Beliau berkata demikian selepas melawat tanaman fertigasi tembikai wangi di Kampung Peradong di Kuala Terengganu, hari ini. Turut hadir, Pengarah Pertanian Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof.

Susulan isu “siakap harga kayangan” itu, Rosol berkata KPDNHEP melancarkan Ops Menu di seluruh negara bermula 6 Nov lepas sehingga semalam, dengan 21 kes diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM6,400.

Menurutnya daripada 21 kes itu, 10 kes melibatkan kesalahan di bawah AKHAP 2011 manakala 11 lagi berkaitan Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

“Pegawai dan anggota terlibat telah melakukan pemeriksaan di 2,800 premis termasuk kedai makan dan restoran di seluruh negara bermula 6 Nov lepas dan akan diteruskan sehingga 31 Dis ini.

Kes tertinggi dikesan ialah di Sabah dengan sembilan kes, Johor (tiga), Pulau Pinang (dua), manakala Perak, Terengganu, Kelantan, Perlis, Pahang, Selangor dan Sarawak masing-masing satu kes,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.