Pekerja cedera, pemandu dipercayai mabuk rempuh kedai

Pekerja cedera, pemandu dipercayai mabuk rempuh kedai

Mangsa tidak sedarkan diri manakala rempuhan itu turut mengakibatkan struktur kedai rosak, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis.

Anggota bomba memberi bantuan kepada mangsa. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja kedai perabot parah selepas premis berkenaan dirempuh seorang pemandu yang dipercayai mabuk.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, dalam kejadian jam 6 petang di Jalan Kampung Pasir, Ampang Jaya itu, pemandu kereta terbabit hanya mengalami cedera ringan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.15 petang.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Preve dipandu lelaki berusia 36 tahun merempuh kedai berkenaan.

“Ketika kejadian terdapat seorang pekerja di kedai berkenaan dan kini berada dalam keadaan parah akibat rempuhan itu,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik Harian Metro.

Menurutnya, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi bantuan awal kepada mangsa yang berusia 20-an itu sebelum dia dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

“Mangsa didapati tidak sedarkan diri. Rempuhan itu turut mengakibatkan struktur kedai rosak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.