
Beliau berkata kemenangan besar BN di Melaka bermakna pengundi telah kembali kepada gabungan itu, selepas kekalahan mengejutkan pada PRU14.
“Rakyat Melaka beri mandat semula kepada BN untuk bentuk kerajaan,” katanya dalam ucapan kemenangan malam tadi.
Dalam ucapannya lagi, Zahid berkata, BN akan mengusulkan undang-undang antilompat parti di Melaka bagi memastikan kestabilan politik di negeri itu.
Menurutnya, enakmen yang dicadangkan itu akan memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) kekal utuh dalam bentuk sedia ada untuk lima tahun akan datang.
Beliau juga berkata BN akan berusaha untuk mewujudkan prosedur DUN bagi “undi percaya konstruktif”. Ini berbeza dengan prosedur parlimen semasa, apabila undian hanya boleh dibuat melibatkan usul tak percaya terhadap ketua kerajaan sedia ada.
Sambil berterima kasih kepada pengundi Melaka, beliau berkata: “Kami akan membalas kepercayaan yang diberikan kepada kami melalui perkhidmatan yang cemerlang dan dengan menunaikan janji manifesto kami.”
Zahid berkata rakyat Melaka telah memberikan isyarat jelas bahawa mereka mahukan kestabilan dan kemakmuran, seperti yang dijanjikan dalam manifesto BN.