Masyarakat setempat bergaul di pusat undi, ceriakan suasana di Selandar

Masyarakat setempat bergaul di pusat undi, ceriakan suasana di Selandar

Jiran-jiran pelbagai bangsa bertegur sapa, malah ada yang keluar bersarapan bersama setelah mengundi.

Antara pengundi yang tiba awal, A Nathan, 66, dan Zainon Abu Hassan, 74, berbual di luar SJK(C) Chiao Chee selepas mengundi.
SELANDAR:
Suasana di SJK(C) Chiao Chee ceria walaupun sebelum pintu pagar pusat undi bagi kerusi Asahan itu dibuka pagi tadi.

Walaupun peratusan keluar mengundi lebih rendah daripada biasa, pengundi di Asahan, yang kelihatan kebanyakannya warga emas, sangat teruja ketika menunggu giliran mengundi.

Semangat mereka sedikit sebanyak membawa sinar kepada cuaca pagi yang mendung ini.

“Tiada orang luar di sini. Kami semua masyarakat setempat, semua jiran,” kata A Nathan, 66, individu pertama beratur untuk mengundi pagi ini.

“Kami mungkin lebih berusia, tetapi masih bersemangat untuk mengundi. Lebih baik undi awal,” kata seorang lelaki yang berada di tengah-tengah barisan, jelas tersenyum di sebalik pelitup muka yang dipakainya.

“Apa khabar?”, “Sudah makan?”, kedengaran jiran-jiran pelbagai bangsa bertegur sapa apabila bertemu di pusat undi tersebut.

Barisan lebih panjang terbentuk selepas 9 pagi apabila pengundi muda mula hadir.

Segelintir pengundi malah pergi bersarapan dengan rakan-rakan selepas mengundi.

Ada yang nampaknya juga berjanji untuk bertemu di pusat berkenaan, agar mereka dapat mengundi bersama.

Menjelang 9 pagi, hampir 300 daripada 2,008 pengundi yang berdaftar dengan pusat berkenaan hadir.

Pengundi muda tiba lebih lewat, membentuk barisan lebih panjang, sambil petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi arahan agar ke saluran mengundi masing-masing.

Asahan adalah satu daripada tiga pertandingan enam penjuru dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Bekas Ketua Menteri, Idris Haron, yang bertanding dengan tiket Pakatan Harapan (PH), berdepan calon Barisan Nasional (BN) Fairul Nizam Roslan, Dhanesh Basil daripada Perikatan Nasional (PN), dan tiga calon bebas.

Di kawasan ini, 64% pengundi berbangsa Melayu, diikuti kaum Cina (23%), India (11%), dan lain-lain (2%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.