Kalah di Melaka tetapi ‘saya tidak sesekali kembali ke Umno’, kata Muhyiddin

Kalah di Melaka tetapi ‘saya tidak sesekali kembali ke Umno’, kata Muhyiddin

Beliau berkata, Bersatu dan PN akan terus meneruskan perjuangan berprinsipnya untuk ditawarkan kepada rakyat.

Perikatan Nasional akan membuat kajian berkaitan kekalahan ini dan menjadi pengajaran tentang langkah seterusnya yang akan diambil dalam pilihan raya akan datang.
MELAKA TENGAH:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak sesekali akan meninggalkan Bersatu yang dipimpinnya walaupun PN tewas teruk pada pilihan raya negeri (PRN) malam ini.

Beliau berkata, Bersatu dan PN akan terus meneruskan perjuangan berprinsipnya untuk ditawarkan kepada rakyat.

“Apakah saya akan tinggalkan parti saya dan kembali kepada parti asal (Umno)? Itu sesekali tidak akan berlaku.

“Kita sudah berhijrah dan yakin prinsip asas Bersatu dan PN tidak lain menawarkan suatu bentuk parti mendokong kerajaan lebih baik dan prinsip ketelusan,” katanya pada sidang media, sebentar tadi.

Keputusan PRN yang diumumkan malam ini menyaksikan PN hanya menang dua daripada 28 kerusi yang ditandinginya iaitu Sungai Udang dan Bemban.

Bagaimanapun, PN gagal mempertahankan dua kerusi dimenangi pada pilihan raya umum lalu iaitu Paya Rumput dan Telok Mas.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN akan menjalankan kajian mendalam berkaitan kekalahan pada PRN Melaka.

Katanya, kesan jumlah pengundi yang keluar mengundi rendah dan kekangan jentera parti serta beberapa masalah lain akan dikaji.

“Kekalahan ini akan menjadi menjadi pengajaran dan panduan tentang langkah seterusnya yang akan diambil oleh PN dalam pilihan raya akan datang.

“PN bersedia apa-apa saja kemungkinan untuk menghadapi pilihan raya umum…ini adalah jihad dan kita mahu supaya pengundi beri penilaian yang adil apa yang kita pertaruhkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.