Ejen pengundian diminta tinggalkan pusat undi, PH buat laporan polis

Ejen pengundian diminta tinggalkan pusat undi, PH buat laporan polis

Calon Ayer Molek Mohamad Rafee Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku di pusat undi SK Bendahara Seri Maharaja, Kandang.

Calon PH di kerusi Ayer Molek, Mohamad Rafee Ibrahim (tengah) pada sidang media hari ini membantah tindakan pegawai SPR itu.
AYER MOLEK:
Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis setelah salah seorang ejen mengundinya diminta meninggalkan pusat undi di Ayer Molek.

Pada sidang media, calon Ayer Molek Mohamad Rafee Ibrahim berkata, hanya ejen pengundian PH diminta keluar oleh ketua tempat pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, pegawai berkenaan meminta Mohd Nasri Omar meninggalkan kawasan saluran empat di pusat undi SK Bendahara Seri Maharaja, Kandang.

Menurut Rafee, rasional pegawai itu meminta Nasri beredar adalah beliau telah selesai dua jam bertugas.

Namun katanya, dua jam adalah tempoh minimum tugas seorang ejen mengundi, bukan maksimum.

“Parti lain tak kena halau, PH sahaja diminta keluar. Pelik juga,” tambahnya.

Kata Rafee lagi, selama setengah jam, PH tiada ejen di saluran berkenaan dan ini menimbulkan kebimbangan wujudnya penipuan.

“Sepatutnya, ketua tempat mengundi memberhentikan proses pengundian (bagi) meminta pengesahan SPR sendiri. Secara umumnya, ejen parti lain harus berasa bimbang mungkin ada manipulasi (ketika ketiadaan ejen),” katanya.

Ketua hal ehwal undang-undang PKR G Manivannan berkata, mereka telah menghubungi SPR Melaka berhubung perkara ini, dan ia telah selesai.

Bagaimanapun, katanya, parti itu akan membenarkan proses undang-undang berjalan.

Selain itu, Rafee berkata, ejen pengundian PH turut melaporkan isu-isu seperti kehadiran penyokong parti tertentu di sekitar pusat bagi merayu undi.

“Ejen kami dengan segera melaporkan kepada pegawai SPR, dan mereka (yang merayu undi) diminta beredar,” katanya.

Rafee turut mengadu bahawa ahli keluarga pengundi kurang upaya tidak diberi kelonggaran untuk menemani mereka ketika mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.