Dakwaan Rosmah hakim berat sebelah tiada asas, kata pendakwaan

Dakwaan Rosmah hakim berat sebelah tiada asas, kata pendakwaan

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yin Tinn berkata Rosmah Mansor tidak pernah membangkitkan sebarang aduan mengenai Hakim Mohamed Zaini Mazlan berhubung kes perbicaraan pengubahan wang haram dihadapinya.

Rosmah Mansor berdepan 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7 juta dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.
KUALA LUMPUR:
Rosmah Mansor tidak mengemukakan sebarang fakta untuk menyokong hujahannya bahawa hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pengubahan wang haram berjumlah RM7 juta akan bersikap berat sebelah, kata pihak pendakwaan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yin Tinn berkata, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu tidak pernah membangkitkan sebarang aduan mengenai keadilan atau kewajaran hakim Mohamed Zaini Mazlan berhubung kes perbicaraan pengubahan wang haram itu.

Poh berkata, peguam Rosmah menerima Zaini sebagai hakim perbicaraan bagi kes itu apabila mereka hadir untuk pengurusan kes yang dilakukan ketika beliau diperintahkan membela diri bagi kes rasuah.

“Sebarang penemuan yang dibuat oleh hakim berhubung kredibiliti pemohon (Rosmah) sebagai saksi dalam kes (rasuah) solar atau pengubahan wang haram atau sebarang perkara keterangan dikawal oleh prinsip penilaian keterangan,” kata Poh yang mengesahkan afidavit bagi menolak permohonan Rosmah untuk Zaini menarik diri.

Dalam afidavit yang dilihat FMT, Poh berkata, permohonan Rosmah tidak mendedahkan sebarang keadaan yang menunjukkan wujudnya bahaya berat sebelah di pihak hakim.

“Permohonan oleh tertuduh tidak memberikan asas yang mencukupi dan boleh dipertikaikan berhubung penarikan diri terbabit.

“Hujahan lanjut mengenai undang-undang akan dilakukan dalam pendengaran permohonan itu,” kata Poh yang memohon mahkamah menolak permohonan itu bagi membolehkan perbicaraan kes pengubahan wang haram berkenaan diteruskan.

Permohonan penarikan diri itu akan didengar pada 14 Dis.

Rosmah, 69, yang memfailkan permohonan itu pada 2 Nov lalu, memohon supaya kes itu didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

Pada 18 Feb, Zaini membuat keputusan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rosmah dan memerintahkannya membela diri dalam kes rasuah yang akan bersambung pada 8 Dis.

Beliau mendakwa, kenyataan dan bukti yang dikemukakan di mahkamah dalam kes rasuah boleh mempengaruhi Zaini secara langsung atau tidak langsung sekiranya hakim itu turut mendengar kes pengubahan wang haram berkenaan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalan Ngeri (LHDN).

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti yang diperuntukkan bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.