Polis Malaysia ‘tak cekap’, Ahli Parlimen Australia selar siasatan wanita hilang

Polis Malaysia ‘tak cekap’, Ahli Parlimen Australia selar siasatan wanita hilang

Parlimen Australia Selatan meluluskan usul mendesak Canberra campur tangan dalam kes kehilangan Anna Jenkins.

Annapuranee Jenkins hilang pada Disember 2017 ketika bercuti di Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Seorang Ahli Parlimen Australia Selatan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap respons polis Malaysia dalam kehilangan dan kematian Annapuranee Jenkins, 65, di Pulau Pinang pada 2017.

Frank Pangallo, anggota majlis legislatif Parlimen itu, turut mempertikaikan tindakan pendakwaan di Pulau Pinang yang hanya mengarahkan inkues dilakukan pada 14 Oktober tahun ini, iaitu tiga tahun selepas Jenkins dilaporkan hilang.

Selain itu, beliau mempertikaikan klasifikasi diberikan polis Malaysia terhadap kes itu, sebagai kematian mengejut dengan menolak sebarang elemen jenayah pada Ogos, apabila keluarga Jenkins dimaklumkan bahawa lebih ramai pihak perlu disoal.

“Memanglah mereka tidak dapat menemui elemen jenayah kerana ketika itu bukti dan saksi semuanya telah hilang.

“Memang rendahlah kemungkinan untuk sebarang maklumat berguna dapat dihimpunkan. Namun kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan polis tidak menemui tanda khianat dalam kes itu,” katanya menggulung perbahasan usulnya termasuk bagi mendesak kerajaan Australia mencampuri isu berkenaan.

Sambil menyelar “ketakcekapan” polis Malaysia, Pangallo turut mendakwa perlakuan Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berhubung kes itu “tidak boleh diterima.”

Ini antara lain melibatkan dakwaan Shuhaily bahawa beliau tidak dapat mengulas kenapa ujian DNA sisa mayat Jenkins mengambil masa lebih setahun. Beliau juga telah menjemput Australia mengongsikan pengalaman dalam kes itu memandangkan ia negara maju.

Susulan itu, katanya, beliau telah menulis kepada Polis Persekutuan Australia dan Interpol untuk campur tangan memandangkan polis Malaysia tidak mempunyai sumber mencukupi.

Pangallo turut mengecam kerajaan Australia kerana berdiam dalam isu ini sehinggalah masalah keluarga Jenkins itu disiarkan di halaman utama akhbar The Australian.

Usul Pangallo yang turut menggesa kerajaan Australia campur tangan dengan menulis kepada Yang di-Pertuan Agong serta Perdana Menteri, diluluskan sebulat suara Dewan.

Jenkins yang dilahirkan di Parit Buntar bercuti di Pulau Pinang bersama Frank ketika dilaporkan hilang.

Mayatnya ditemui di kawasan projek perumahan dalam pembinaan di Batu Gantong pada 24 Jun tahun lalu, 3km dari lokasi dia kali terakhir dilihat turun dari kenderaan Uber di Scotland Road pada Disember 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.