
Undian Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 itu dijangka dijalankan selepas baki lima lagi kementerian membuat penggulungan perbahasan rang undang-undang tersebut.
Ia melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Kewangan.
Penggulungan perbahasan yang memasuki hari keempat akan menyaksikan menteri atau timbalan menteri daripada kementerian terbabit menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan oleh 131 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang semasa membahaskan rang undang-undang itu selama tujuh hari bermula 1 Nov lepas.
Dalam pada itu, isu penghinaan terhadap agama Islam yang masih berleluasa dalam media sosial turut menjadi tumpuan pada persidangan hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu dibangkitkan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Beliau bertanyakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenai langkah strategik yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi menangani isu berkenaan.
Dalam pada itu, isu penyertaan Bumiputera dalam industri logistik dan pergudangan dibangkitkan Shabudin Yahaya (Bersatu-Tasek Gelugor) yang bertanyakan langkah yang diambil oleh Kementerian Pengangkutan bagi meningkatkan penyertaan golongan berkenaan dalam sesi Soal Jawab Lisan.