Sekatan jualan arak hanya di kawasan majoriti Melayu, kata kerajaan Kedah

Sekatan jualan arak hanya di kawasan majoriti Melayu, kata kerajaan Kedah

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, pihak berkuasa tempatan akan mengenakan sekatan penjualan arak di daerah yang mempunyai penduduk Melayu yang ramai.

Asmirul Anuar Aris daripada Pakatan Harapan berkata, sebahagian daripada penduduk kampung di kawasannya membelanjakan RM1,200 sebulan di laman judi dalam talian. (Gambar Pejabat MB)
ALOR SETAR:
Kerajaan Kedah menjelaskan rancangannya untuk mengehadkan penjualan alkohol di negeri itu termasuk sekatan ke atas kedai menjual arak di kawasan majoriti Melayu.

Terdahulu, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penjualan arak di kawasan “yang kurang permintaan” akan dihadkan manakala Pulau Langkawi akan dikecualikan.

Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Mohd Hayati Othman (PAS-Tokai) berkata, pihak berkuasa tempatan akan mengenakan sekatan penjualan arak di daerah yang mempunyai penduduk Melayu yang ramai.

“Di daerah-daerah ini, hanya sebilangan premis yang dibenarkan menjual arak. Mana-mana premis lain yang didapati menjual arak akan dibatalkan lesen perniagaan mereka,” katanya.

Tambah Hayati, negeri itu juga sebelum ini mengumumkan bahawa pihak berkuasa tempatan tidak akan memperbaharui lesen perniagaan untuk kedai judi. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bilakah dasar baharu ini akan berkuat kuasa.

Beliau menjawab soalan bertulis Asmirul Anuar Aris (PH-Kubang Rotan), yang bertanya bilakah kerajaan negeri akan melarang operasi kedai judi dan penjualan arak.

Dalam soalan tambahan, Asmirul bertanyakan apakah langkah diambil untuk menangani kegiatan judi dalam talian sambil berkata segelintir “orang kampung” di kawasannya membelanjakan RM1,200 sebulan untuk pertaruhan.

Katanya, individu yang terlibat dalam aktiviti judi mampu membayar ikat jamin selepas didakwa di mahkamah.

Simon Ooi (PH-Bakar Arang) kemudian bertanya mengenai nasib rumah kelab seperti Kedah Royal Club yang mempunyai mesin judi tetapi tidak memerlukan lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan.

Hayati mengelak soalan kedua itu tetapi menjawab pertanyaan Asmirul dengan berkata kerajaan negeri percaya dengan usaha pihak polis dalam memerangi kegiatan judi dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.