
Projek mega yang akan dibina di atas kawasan tambakan seluas 6,070 hektar itu menerima kritikan hebat hingga menyebabkan pemimpin Barisan Nasional (BN) seperti bekas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusof tampil mempertahankannya.
Sulaiman berkata, projek sejauh 22 kilometer (km) bermula dari Umbai ke Tanjung Bruas itu bukan baharu tetapi adalah penjenamaan semula pelbagai projek tambakan laut di Melaka dan mendakwa kelulusan telah diberikan oleh “beberapa orang Ketua Menteri selama ini” menerusi 56 konsesi untuk menambak kawasan seluas lebih 11,000 ekar.
Ketika BN bersedia meneruskan projek MWEZ sekiranya ia menang dalam PRN Melaka Sabtu ini, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) pula berikrar untuk meneliti semula projek mega itu sekiranya ia menang.
Bagaimanapun, penduduk yang tinggal di sepanjang pesisir pantai tidak berharap untuk melihat projek itu dihentikan, terutama selepas kerajaan negeri menandatangani perjanjian dengan LBS Bina Group Bhd pada April untuk fasa pertama MWEZ.
Martin Theseira, 65, berkata, perjanjian kontrak itu bermakna agak sukar untuk melakukan ‘pusingan-U’ kerana sekiranya tidak diteruskan, ia akan melibatkan pampasan yang tinggi.
Sambil mengatakan beberapa kerja penambakan sebelum ini menyebabkan banjir kilat kerap berlaku di negeri itu, penduduk Melaka berketurunan Portugis itu berkata, ia akan menimbulkan lebih banyak kemarahan dalam kalangan pemilik perniagaan mengenai kemungkinan berlakunya banyak kerja penambakan laut selepas ini.
“Jika anda memiliki kilang besi dan perniagaan terganggu akibat banjir yang melanda sekali dalam lima tahun, kamu boleh terima. Tetapi jika lima kali setahun? Kamu akan berasa kecewa,” kata seorang nelayan yang menetap di petempatan Portugis di Ujong Pasir.
Kurangkan projek tambakan laut
Tan Loon Kah, 40, percaya “amat sukar” untuk menghentikan projek dan kerja penambakan laut itu dan dia berharap PH akan memenangi PRN Melaka dan membentuk kerajaan negeri.
Dia berharap calon Ketua Menteri Adly Zahari dapat mengambil tindakan terhadap projek itu atau sekurang-kurangnya dapat meminimumkannya memandangkan dalam “sejarah” Amanah, ia telah membatalkan sehingga 80% projek tambakan laut ketika PH memegang kuasa pada 2018.
“Adly dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana Low Chee Leong, telah menyuarakan bantahan terhadap MWEZ dalam sidang DUN sebelum ini. Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong juga melakukan perkara sama di Dewan Rakyat,” katanya kepada FMT.
Namun begitu katanya, objektifnya adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Melaka lain terutama mereka yang tidak menetap di pesisir pantai, dengan harapan kerja-kerja penambakan dapat diminimumkan.
Pembangunan yang dicadangkan itu bukan hanya dibantah oleh penduduk setempat.
Warga Belanda Frits van Walden berkata, “tiada harapan” untuk MWEZ dihentikan dan satu-satunya yang boleh dilakukan oleh rakyat Melaka ialah berunding bagi memastikan kerja penambakan laut dan kesannya dapat dikurangkan.
Lelaki berusia 68 tahun yang menetap di Melaka sejak 25 tahun lalu itu berkata, projek penambakan yang gagal adalah di Pulau Melaka, yang kini hanya tinggal lot kedai kosong dan terbiar.
“Apakah faedah yang dihasilkan?” soal Frits yang menetap di Tanjung Kling dan pernah bekerja dalam sektor minyak dan gas.