Lelaki simpan dadah RM1.5 juta di kilang terbiar milik keluarga

Lelaki simpan dadah RM1.5 juta di kilang terbiar milik keluarga

Tindakan itu dilakukan bagi mengelak aktivitinya dicurigai pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman (tengah) menunjukkan pelbagai jenis rampasan dadah pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki dikesan menjadikan kilang terbiar milik keluarganya di Kampung Cheras Baru di sini sebagai stor menyimpan dadah bernilai kira-kira RM1.52 juta bagi mengelakkan dicurigai pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman berkata, kegiatan lelaki berusia 36 tahun itu terbongkar selepas polis menyerbu kilang terbabit menerusi Op Kingfisher yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, kelmarin.

Beliau berkata, polis berjaya menahan suspek dalam serbuan yang dilakukan pada jam 4 petang.

“Hasil serbuan, berjaya merampas dadah jenis ketamin seberat 20.66 kilogram (kg), methamphetamine (7.4 kg), ecstacy (3.30 kg) yang dianggarkan bernilai RM1.52 juta.

“Suspek didapati aktif menjadikan kilang yang sudah tidak beroperasi sebagai tempat penyimpanan dadah sejak pertengahan tahun ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Yahaya berkata, siasatan awal mendapati kilang terbabit sebelum ini pernah digunakan oleh keluarga suspek bagi menyimpan pelbagai barangan binaan.

“Namun, selepas kematian kedua-dua ibu bapanya, kilang terbabit tidak lagi beroperasi, namun suspek mengambil kesempatan menggunakan kilang tersebut menyimpan dadah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui sumber bekalan dadah diperoleh selain berapa lama kegiatan itu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, tiga lelaki ditahan menerusi operasi berasingan di sekitar ibu negara dan Selangor sejak 15 Nov sehingga semalam kerana terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Menurutnya, hasil enam serbuan, polis merampas 31.53 kg dadah dipercayai ganja dan 2,800 pil Erimin 5 bernilai RM122,025.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah untuk mengelak diri dari dikesan pihak berkuasa.

“Dadah-dadah yang dirampas ini adalah untuk pasaran tempatan dan hanya diedarkan kepada kenalan rapat sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.