
Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Zulkarnain Md Eusope berkata, vaksin itu boleh didapati di hospital dan klinik swasta tertentu sebagai pilihan bagi individu yang berhasrat mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Sinovac untuk diri mereka.
“Kami harap dengan usaha ini kita akan dapat lihat ekonomi negara terus pulih, di samping membantu rakyat Malaysia menangani pandemik, sekali gus memastikan kesejahteraan orang ramai, kelangsungan perniagaan dan yang penting sekali menyelamatkan nyawa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dos penggalak vaksin Covid-19 Sinovac itu mendapat kelulusan untuk diberikan kepada individu berumur 18 tahun dan ke atas yang telah menerima vaksin jenis yang sama (homologous) tiga hingga lima bulan selepas dos kedua sebagaimana yang digariskan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B).
Katanya, beliau difahamkan beberapa bandar raya dan wilayah di China telah mula memberikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada mereka yang telah menerima dos kedua sekurang-kurangnya enam bulan yang lepas.
“Di China dos penggalak itu mula diberikan selepas 80% populasi negara berkenaan divaksin untuk memberikan perlindungan optimum dalam menentang virus dan varian baharu Covid-19.
“Berdasarkan penyelidikan di China, dos penggalak diberikan selang enam hingga 12 bulan selepas dos kedua bagi mewujudkan respons imun yang lebih mantap, dengan “geometric mean titers” (GMTs) meningkat sehingga kira-kira 140 dalam kalangan dewasa dan lebih tinggi dalam kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas,” katanya.
Beliau berkata, GMT enam bulan selepas dos ketiga adalah lebih tinggi daripada kemuncak dos kedua.
Katanya, kajian juga menunjukkan kekuatan antibodi yang lebih tinggi sehingga 20 kali ganda, enam bulan selepas dos penggalak berbanding dos kedua, menunjukkan tempoh perlindungan yang lebih lama dan mampu menangani varian baharu.
“Vaksin Sinovac Covid-19 adalah selamat kerana ia dibangunkan dengan menggunakan virus tidak aktif yang merupakan teknologi mantap selama lebih daripada 40 tahun. Ia juga biasa digunakan dalam pelbagai jenis vaksin yang boleh didapati di pasaran termasuk untuk polio, Hepatitis A dan rabies,” katanya.