
Tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu ialah Tanjung Bidara, Asahan, Pantai Kundor, Pengkalan Batu, Lendu, Gadek dan Paya Rumput.
Persatuan Kebangkitan Usaha Angkat Suara Awam (KUASA) berkata, menurut analisis yang dibuat terdapat empat kerusi, iaitu Tanjung Bidara, Asahan, Pantai Kundor dan Pengkalan Batu yang melibatkan perubahan drastik calon seperti keluar parti dan menukar kerusi boleh mengubah keputusan undian yang bakal diperolehi.
Katanya, di Tanjung Bidara misalnya bekas ahli Umno Mas Ermieyati Samsudin yang bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN) kali ini, memberikan cabaran kepada calon lain yang ditentangnya, iaitu Ab Rauf Yusof dari Barisan Nasional (BN) dan Zainal Hassan dari Pakatan Harapan (PH).
“Mas telah menguatkan posisinya dalam Bersatu, kini dia Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah, sejarahnya sebagai Ketua Puteri Umno memberikannya ‘x-factor’ untuk mengutip sokongan daripada pelbagai kumpulan dalam Umno atau berkait dengan Umno,” kata Presiden KUASA Praba Ganesan pada sidang media pagi tadi.
Bagi kerusi Asahan, beliau memilih bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron, yang berdepan pertembungan enam penjuru.
Praba berkata, bagi kerusi Pantai Kundur beliau menamakan Nor Azman Hassan, yang terlucut keahlian daripada Umno bulan lalu dan kini bertanding mewakili PH.
“Bagaimanapun, KUASA tidak pasti berapa banyak undian daripada pengundi Umno yang akan dikekalkan beliau dan berapa banyak yang beliau boleh perolehi daripada pengundi PH,” katanya.
Beliau berkata, Norhizam Hassan Baktee mempunyai peluang cerah untuk dipilih semula di Pengkalan Batu. Norhizam bertanding sebagai calon Bebas, selepas dipilih atas tiket PH pada pilihan raya umum pada 2018 sebagai ahli DAP.
Praba juga berkata, PN yang diwakili Bersatu dan PAS, mungkin menang mengatasi Umno dalam pilihan raya.
Pada majlis sama, KUASA turut melancarkan laman sehenti gambaran keseluruhan calon dan analisis pilihan raya negeri Melaka di laman sesawangnya.