
Keluarga Nurul Musfirah Ghazali, 32, serta suaminya, Muhammad Nurhadi, 36, dan tujuh anak mereka berusia antara 4 hingga 13 tahun dirawat di Hospital Dungun selama tiga hari.
Dalam kejadian 8 Nov, Nurul Musfirah berkata, kurang sejam selepas menikmati juadah makan tengah hari itu, perut mereka sekeluarga bertukar panas hingga satu persatu anaknya rebah.
Katanya, dia tidak mengetahui cendawan yang dipetik berdekatan rumahnya yang dimasak bersama kacang panjang sebenarnya beracun.
“Saya hanya memetik empat batang cendawan dan sayur goreng itu kemudian dimakan semua ahli keluarga kecuali anak bongsu yang berusia setahun lebih.
“Kurang sejam selepas makan tengah hari, saya buntu dan takut apabila kami anak beranak tiba-tiba muntah dengan suami serta anak keempat muntah darah,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Melihatkan keadaan itu, Musfirah berkata suaminya menggagahkan diri membawa mereka sekeluarga ke Klinik Kesihatan Paka yang terletak kira-kira 5km dari kediaman sebelum dibawa ke Hospital Dungun dengan ambulans.
“Alhamdulillah, kami cepat menerima rawatan dan selepas tiga hari dimasukkan ke hospital, kami dibenarkan pulang.
“Pegawai kesihatan turut mengambil sampel cendawan itu dan tidak menolak kemungkinan kami keracunan makanan akibat memakannya,” katanya.