
Lima daerah terbabit ialah Kuantan, Pekan, Rompin, Bera dan Bentong dan operasi dilakukan polis bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf, berkata daripada jumlah itu, 10 daripadanya pengedar dan selebihnya penagih termasuk dua wanita berumur antara 15 hingga 60 tahun.
Katanya, tangkapan itu turut membabitkan tujuh individu dikehendaki berkaitan kes jenayah.
“Op Sarang Khas ini membabitkan 12 kawasan Felda iaitu Bukit Goh, Bukit Kuantan, Lepar 1 dan 2, Bukit Gambang, Mempaga, Kemasol, Kemahal, Chemomoi, Keratong, Chini 3 dan Kukai/Rentam.
“Hasil operasi ini, kami merampas 361.09 gram (g) heroin, 91.26g syabu dan 1.5 liter air ketum yang keseluruhannya berjumlah RM27,779,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (2) ADB 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Katanya, Op Sarang Khas bertujuan menggempur sarang pengedar dan penagih dadah yang semakin berleluasa di kawasan Felda berdasarkan risikan dan maklumat.
“Operasi ini bukan sahaja di ‘port’ pengedaran dan penagihan di kawasan Felda, malah serbuan turut dilakukan dari rumah ke rumah. Semakan mendapati penagih ditahan memiliki rekod jenayah lampau dan dikategorikan sebagai penagih dadah berulang,” katanya.
Ramli berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti pengedar dadah dan mengambil tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 Akta Dadah Berbahaya.
Beliau berkata, orang ramai diminta bekerjasama dan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) di talian 09-5051999.