‘Saya kritik lelaki’, calon DAP bidas tuduhan ‘seksis’ oleh MCA

‘Saya kritik lelaki’, calon DAP bidas tuduhan ‘seksis’ oleh MCA

Ketua Wanita Kebangsaan MCA Heng Seai Kie sebelum ini menggesa Allex Seah memohon maaf dan berikrar untuk berhenti membuat komen 'memperlekehkan' wanita.

Allex Seah menegaskan beliau tidak berniat untuk tidak menghormati wanita dalam klip video yang sedang tular di media sosial.
MELAKA:
Calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin, menyangkal dakwaan MCA bahawa beliau bersikap “seksis” susulan klip video yang tular di media sosial.

Beliau tidak bermaksud untuk tidak menghormati wanita dalam klip video berkenaan, tegasnya.

Dakwanya, video itu telah disunting untuk mengeluarkan satu bahagian daripada kenyataannya.

Dalam video yang dikatakan Seah dirakam pada Jumaat, beliau dilihat berada berhampiran pusat kempennya di Malim, Melaka, di mana petugas kempen MCA sedang menanggalkan bendera Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini dipasang untuk menghalang bendera Pakatan Harapan (PH).

“Saya harap pihak lawan kita, sama ada BN atau PN, ‘gentleman’ sikit. Jangan seperti perempuan, takut-takut nak buat benda-benda ini yang yang kita tak tahu. Perempuan pun lagi ‘gentleman’ daripada kamu,” katanya dalam video berkenaan.

Kata Seah, dalam video berkenaan, di mana beliau bercakap dalam Bahasa Malaysia dan Mandarin, bertujuan menegur sekumpulan lelaki, bukan menyasarkan golongan wanita.

“Itu sama sekali tidak benar,” katanya kepada FMT apabila ditanya sama ada beliau rasa beliau tidak menghormati wanita dalam video itu.

“Saya harap kata-kata saya tidak diputar belit. Jika anda lihat video saya dalam Bahasa Mandarin, saya ada sebut satu perkara … Sifat lelaki berbanding wanita,” tambah penyandang kerusi Kesidang itu yang menyasarkan penggal keduanya.

Seah menuduh MCA menyunting video untuk mengeluarkan perenggan terakhir, yang berkata, “Perempuan pun lebih ‘gentleman’ daripada kamu”.

Video itu mengiringi kenyataan media daripada Ketua Wanita Kebangsaan MCA Heng Seai Kie, yang menggesa Seah memohon maaf dan berikrar untuk berhenti membuat komen “memperlekehkan” wanita.

Beliau juga menyeru para pemimpin wanita DAP menyatakan pandangan mereka mengenai kenyataan Seah.

“Sudah tiba masanya bagi Allex Seah belajar menghormati wanita dan tidak mengeluarkan kata-kata yang merendahkan wanita, secara sengaja atau tidak sengaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.