
Ketika pendengaran bermula hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Harom memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bahawa beliau tidak akan mencabar rayuan oleh Khairul Ikhwan Kassim.
Bagaimanapun, tiada alasan diberikan oleh hakim Nor Bee Ariffin, M Gunalan dan Hashim Hamzah.
FMT difahamkan, tertuduh tidak sepatutnya didakwa bersama atas kesalahan itu kerana tembakan sebenarnya dilepaskan oleh seorang lagi perayu, Ahmad Farid Mohamad Nasir dalam kejadian membabitkan mangsa yang juga seorang pegawai kanan kerajaan.
Nor Bee berkata, sabitan terhadap Khairul tidak selamat dan oleh itu keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan.
“Kami membenarkan rayuan dan membebaskan perayu kedua (Khairul),” katanya.
Mahkamah bagaimanapun mengesahkan hukuman mati yang dikenakan ke atas Farid, 30.
“Kami berpuas hati bahawa tidak ada kesilapan oleh hakim perbicaraan dalam mensabitkan perayu pertama (Farid),” kata Nor Bee.
Farid didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Nazaruddin Harun di kilometer 7.5 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) kira-kira jam 11.45 malam pada 5 Januari 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana menembak bahagian pinggul Nazarudin ketika rompakan.
Kedua-duanya berada dalam kereta dan didapati telah merancang kemalangan yang menyebabkan mangsa terpaksa memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.
Peguam N Sivananthan mewakili Khairul dan Ahmad.