
Menurut Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin, ia menjadi sebab kematian utama di Malaysia sejak dua dekad lalu.
Dalam kenyataan yang mengulas laporan itu, Uzir berkata, terdapat 18,515 kematian akibat penyakit jantung iskemik tahun lalu – 12,707 (68.6%) dalam kalangan lelaki dan 5,808 (31.4%) wanita. Ia adalah punca utama kematian bagi mereka yang berusia antara 41 dan 59 tahun (20%) dan juga 60 tahun ke atas (18%).
Penyakit itu juga menjadi sebab kematian utama bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia yang mana etnik Bumiputera (16.6%), Cina (16.0%) dan India (22.8%).
“Di peringkat negara ASEAN, penyakit jantung iskemik juga merupakan sebab kematian utama bagi Singapura, Thailand dan Filipina. Trend sama turut dicatatkan di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, United Kingdom (UK) dan Australia,” katanya.
Secara keseluruhannya, sebanyak 166,507 kematian direkodkan pada 2020 dengan 109,155 (65.6%) adalah sebab kematian yang disahkan secara perubatan dan 57,352 (34.4%) adalah sebab kematian yang tidak disahkan secara perubatan.
Selain itu, pneumonia mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini dengan 11.4% diikuti penyakit cerebrovaskular (8.3%), kemalangan jalan raya (3.8%), malignant neoplasm (ketumbuhan dengan kanser) pada trakea, bronkus dan paru-paru (2.9%).
Statistik juga menunjukkan kematian berpunca daripada kanser meningkat kepada 15.5% pada 2020, berbanding 11.6% pada 2000.
Uzir berkata, kematian akibat Covid-19 adalah punca kematian baharu yang direkodkan pada 2020 dengan 471 atau 0.3% daripada 166,507 kematian.
“Sabah merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat Covid-19, iaitu 265 kematian manakala Terengganu merekodkan kematian terendah, iaitu hanya satu kematian,” katanya.