
Beliau berkata ia susulan 40% penerima terbabit gagal menghadiri temu janji untuk menerima suntikan masing-masing.
“Petang, ini, saya akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk membuat keputusan mengenai dasar ‘walk-in’ itu untuk golongan yang layak menerima dos penggalak. Kita mungkin akan mencapai keputusan hari ini,” katanya selepas melancarkan Destinasi Rawatan untuk Hepatitis C.
Khairy berkata, suntikan secara ‘walk-in’ itu mungkin ditawarkan kepada mereka yang masih belum menerima vaksin.
“Kita mempunyai dos yang mencukupi untuk diberikan kepada mereka belum menerima vaksin serta golongan yang layak menerima dos penggalak.
“Jika kita membenarkan ‘walk-in’ untuk dos penggalak, kita mungkin juga membenarkan mereka yang belum menerima vaksin untuk datang secara terus bagi mendapatkan suntikan dos pertama,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kementerian mempunyai bekalan dos penggalak yang mencukupi untuk diberikan kepada setiap penerima dewasa.
Selain itu katanya, ia juga bergantung kepada golongan anti-vaksin untuk menentukan sama ada Malaysia mampu mencapai populasi yang menerima vaksin sepenuhnya.
“Jika melihat kepada statistik, 98% daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos. Jadi, ia bergantung kepada 2% lagi untuk kita mencapai sasaran,” katanya.
Pemberian dos penggalak di seluruh negara bermula pada 13 Oktober lalu yang membabitkan golongan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan sistem imun yang lemah, kumpulan yang mempunyai komorbiditi, petugas kesihatan dan pekerja di pusat jagaan.
Sebagai permulaan, kira-kira 8.75 juta orang disasarkan untuk menerima dos penggalak. Ia termasuk 600,000 petugas kesihatan barisan hadapan dan 150,000 individu dengan sistem imun yang lemah.