PKR yakin menang semua 11 kerusi, termasuk ditandingi calon KM BN

PKR yakin menang semua 11 kerusi, termasuk ditandingi calon KM BN

Rakyat di lapangan nampaknya seperti dapat menerima PH, kata Ketua PKR Melaka Halim Bachik.

Ketua PKR Melaka Halim Bachik berkata, PH telah turun padang di Lendu sejak kerajaan negeri digulingkan pada Mac 2020 dan penerimaan rakyat di sana dilihat ‘amat positif’.
AYER KEROH:
PKR yakin dapat memenangi kesemua 11 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, termasuk di Lendu, di mana calon Ketua Menteri Barisan Nasional (BN), Sulaiman Md Ali bertanding.

Ketua PKR Melaka Halim Bachik berkata, rakyat di lapangan nampaknya dapat menerima Pakatan Harapan (PH) memandangkan Perikatan Nasional (PN) dan BN sedang bergelut merebut kuasa di negeri itu walaupun berada dalam kerajaan persekutuan yang sama.

“Tidak mustahil untuk kami memenangi semua kerusi ditandingi. Kita tumpukan berjumpa pengundi, itu yg penting,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Antara 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Sabtu, sekutu PKR, iaitu Amanah akan bertanding sembilan kerusi, manakala DAP lapan kerusi.

Halim berkata, PH telah turun padang di Lendu sejak kerajaan negeri digulingkan pada Mac 2020.

Katanya, penerimaan rakyat “amat positif” memandangkan calon PKR Mohamad Asri Ibrahim, seorang bekas penjawat awam dan pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kerap mengunjungi kawasan tersebut.

“Kita menilai Lendu ada potensi menang sebab Sulaiman memiliki majoriti tidak tinggi, iaitu 627 undi,” katanya.

Asri, Sulaiman dan Abdullah Mahadi daripada Bersatu akan bertembung di kerusi Lendu.

PKR juga akan bertanding di Tanjung Bidara, Rembia, Machap Jaya, Asahan, Sungai Udang, Paya Rumput, Kelebang, Ayer Molek, Rim dan Sungai Rambai.

Sementara itu, Halim turut mengumumkan skim peluang pekerjaan dianjurkan PH, yang merangkumi program pencarian pekerjaan dikenali sebagai Career@Melaka, untuk meningkatkan peluang pekerjaan di negeri itu.

Bagi mengukuhkan lagi sektor ekonomi Melaka katanya, PH akan memberikan diskaun bayaran lesen perniagaan bagi 2022 serta menyediakan pinjaman mudah sehingga RM5,000 untuk usahawan wanita.

Katanya lagi, Dana Pemulihan dan Sektor Pelancongan akan dilaksanakan sebagai peruntukan bagi memulihkan sektor pelancongan di negeri tersebut.

“Untuk memastikan kestabilan ekonomi negeri Melaka, pelbagai usaha ekonomi akan diteroka dengan mengikhtiarkan satu inisiatif, iaitu Inisiatif Baharu dan Menarik FDI (Menarik Pelaburan Asing) dengan menjadikan negeri Melaka sebagai lokasi tumpuan aktiviti MICE (Meetings, Incentives, Conference, Exhibitions).

“Penerokaan industri baharu seperti tenaga hijau, pelabuhan dan ‘cruise’, ekonomi digital dan I-Gig serta bandar pintar dijangka menjana 10,000 peluang kerja baharu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.