
Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata larangan itu membuktikan kerajaan ditadbir PAS gagal mengangkat kepelbagaian budaya dalam negara, selain dibimbangi mewujudkan lebih banyak jurang dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Katanya, kerajaan negeri dilihat mengambil pendirian “populis menggunakan nama agama” untuk digunakan sebagai pampasan kepada ketidakupayaan membangunkan ekonomi Kedah serta menyediakan bantuan kebajikan dalam mengangkat kehidupan rakyat kesan wabak Covid-19.
“Itulah sebabnya mengapa PAS perlu mengambil keputusan menggunakan ‘tarikan emosi tahap rendah bagi mendapatkan undi’.
“Sekarang, ia berlaku pula di Kedah. Ia mungkin akan dijadikan dasar kebangsaan sekiranya Perikatan Nasional (PN) sedia menerima tindakan itu,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Batu itu berkata, dasar seperti itu tidak mengambil kira hak bukan Islam yang dibimbangi mengundang “ketegangan antara kaum”.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi, dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.
Sanusi berkata, mesyuarat Exco minggu lalu turut memutuskan untuk menghadkan penjualan minuman keras di semua premis, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.
Dalam pada itu, dua menteri Kabinet yang enggan dinamakan memaklumkan FMT, mereka akan membawa keputusan kerajaan negeri itu ke mesyuarat Jemaah Menteri.
“Ini adalah keputusan yang buruk. Kita tidak boleh benarkan ia berlaku,” kata seorang menteri itu.
Seorang lagi menteri berkata, “kita baru saja menyelesaikan kontroversi jenama Timah di Kabinet, yang mana ada bersetuju dan ada tidak bersetuju. Kita perlu berbincang isu baru ini di Kabinet,” katanya.
Kutipan cukai perjudian jatuh
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Cheah, terkejut terhadap larangan kedai nombor ekor beroperasi di Kedah selepas ini.
Katanya, kerajaan negeri perlu mencari pendekatan baharu bagi menggantikan kutipan cukai perjudian yang diterima daripada kedai nombor ekor.
“Bagaimana hasil pendapatan ini akan diganti? Adakah cukai lain akan dinaikkan susulan kekurangan kutipan cukai? Jika ini berlaku, Muslim dan bukan Muslim akan menerima kesan daripada keputusan ini,” katanya kepada FMT.
Cheah turut mempersoalkan tafsiran kerajaan negeri terhadap “penyakit sosial”. Sebagai contoh, beliau berkata, penyalahgunaan dadah juga adalah penyakit sosial di seluruh dunia dan susulan itu, banyak negara melarangnya.
“Seperti juga rasuah yang dilarang di seluruh dunia. Tidakkah kerajaan Kedah perlu membanteras rasuah juga?” soalnya.
Katanya, kerajaan negeri sepatutnya menekankan kepada program kesedaran perjudian, berbanding menguatkuasakan larangan.
Bekas Presiden Dewan Perdagangan Perniagaan Cina Kedah, Tang Eng Kiang, berkata kerajaan negeri perlu menghormati hak rakyat bukan Islam untuk bebas memilih.
“Ini tidak betul sebab sebelum ini pun Muslim sedia dilarang daripada masuk ke premis nombor ekor termasuk dilarang membeli produk minuman beralkohol.
“Bukan Muslim sentiasa diberitahu agar menghormati hak Muslim. Saya berpandangan Muslim juga perlu menghormati hak bukan Muslim,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Kriminologi Universiti Sains Malaysia, P Sundramoorthy, berkata larangan kedai nombor ekor beroperasi selepas ini akan menjurus kepada lebih banyak aktiviti perjudian haram di pasaran gelap.
Katanya, pusat perjudian haram pasti menerima manfaat susulan larangan itu, dengan pertaruhan boleh dilakukan menerusi panggilan telefon mahu pun secara dalam talian sahaja.
“Mereka yang mahu beroperasi secara sah tidak mempunyai pilihan terpaksa pergi ke Perak atau Pulau Pinang. Mungkin mereka terpaksa bekerjasama dengan sindiket haram,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini, pihak berkuasa sering berdepan cabaran dalam mengekang aktiviti perjudian haram, justeru negara yang mengharamkan perjudian pasti terpaksa mendepani cabaran lebih besar menghapuskan aktiviti haram itu.