Lapor serta merta jika ada kes kolera, kata Pengarah Kesihatan Selangor

Lapor serta merta jika ada kes kolera, kata Pengarah Kesihatan Selangor

Dr Sha'ari Ngadiman berkata kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitter mengesahkan kes taun atau kolera dikesan di daerah Petaling.
PETALING JAYA:
Semua pengamal perubatan di Selangor diingatkan melaporkan serta merta kejadian kes kolera susulan pengesanan kes kolera membabitkan seorang warganegara di daerah Petaling, kata Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman.

Katanya, sehubungan itu, beliau mengarahkan pengamal perubatan mengambil sampel najis bagi ujian kultur dan sensitiviti bagi yang disyaki bergejala.

“Pengamal perubatan perlu melaporkan kejadian kes kolera ke pejabat kesihatan daerah terdekat melalui telefon seterusnya melalui sistem e-notifikasi dalam masa 24 jam.

“Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitter mengesahkan kes taun atau kolera dikesan di daerah itu.

Penyakit kolera merupakan penyakit bawaan air dan makanan yang berpunca daripada jangkitan bakteria.

Gejala awal kolera adalah cirit birit tanpa sakit, loya dan muntah serta boleh membawa kepada dehidrasi, ‘circulatory collapse’ juga kematian.

Dalam pada itu, Sha’ari menasihatkan orang awam minum air yang telah dirawat atau yang telah dididihkan serta mengamalkan kebersihan diri dan mencuci tangan.

“Dapatkan rawatan segera sekiranya mempunyai gejala kolera dan jangan makan makanan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.

“Pihak pejabat kesihatan daerah diminta untuk meningkatkan survelan Acute Gastroenteritis (AGE) di semua klinik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.