Jangan jadikan PRN Melaka eksperimen seperti PRU14, kata Ahmad Maslan

Jangan jadikan PRN Melaka eksperimen seperti PRU14, kata Ahmad Maslan

Setiausaha Agung Umno itu berkata, ujikaji mengakibatkan kos yang tinggi kepada rakyat dan negara jika percaturannya salah.

Ahmad Maslan berkata, menjadikan pilihan raya negeri sebagai medan ujikaji hanya akan mengakibatkan kos yang tinggi kepada rakyat dan negara jika silap percaturan.
MELAKA:
Penyokong dan jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak menjadikan pilihan raya negeri (PRN) Melaka sebagai medan ujikaji seperti yang berlaku pada pilihan raya umum ke-14, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

”Kepada BN, penyokong dan juga jentera, kita jangan membuat eksperimen ketika PRN ini dengan memilih orang lain. Kerana nak buat eksperimen, nak tukar kerajaan pada 9 Mei 2018, eksperimen itu terbukti eksperimen yang silap dan salah.

“Sebab itu kita tidak mahu pilihan raya dijadikan ujikaji kerana kos politiknya begitu tinggi kepada rakyat dan negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad juga mengingatkan jentera kempen BN menggunakan sebaiknya kebenaran mengadakan mesyuarat dan taklimat sepanjang PRN Melaka untuk memastikan aliran maklumat antara calon dan pengundi berjalan lancar.

Beliau berkata jentera kempen parti jangan menjadikan larangan dan sekatan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai satu kongkongan hingga tidak dapat melakukan sebarang kerja.

”Kita buat apa yang dibenarkan, boleh adakan mesyuarat dan taklimat. Jadi perbanyakkanlah mesyuarat kerana dia (SPR) tak sebut di mana mesyuarat itu diadakan. Begitu juga taklimat jentera yang dibenarkan. Jadi buatlah taklimat itu pagi, tengahari, petang malam,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihati jentera kempen BN agar berkempen secara beretika dan tidak melakukan perkara-perkara yang tidak baik termasuk membuat fitnah.

Umno di bawah tiket BN bertanding di 20 buah kerusi pada PRN ini manakala rakan gabungan iaitu MCA (tujuh) dan MIC (satu) daripada kesemua 28 kerusi yang ditawarkan.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.