PRN Melaka: 12 bilik gerakan DUN PN tutup akibat Covid-19 palsu

PRN Melaka: 12 bilik gerakan DUN PN tutup akibat Covid-19 palsu

Perkara berkenaan disahkan Setiausaha Eksekutif Perikatan Nasional (PN) Saiful Adli Mohd Arshad.

Setiausaha Eksekutif PN Saiful Adli Mohd Arshad, menafikan kenyataan tular kononnya 12 bilik gerakan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, ditutup kerana Covid-19. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kenyataan tular mendakwa kononnya 12 bilik gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perikatan Nasional (PN) di Melaka ditutup akibat Covid-19 adalah palsu, kata Setiausaha Eksekutif PN Saiful Adli Mohd Arshad.

Beliau berkata, kenyataan palsu itu disebar sejak tengah hari tadi.

“Kenyataan itu adalah kenyataan palsu, harap maklum,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Dalam kenyataan didakwa palsu bertarikh hari ini, antara bilik gerakan yang kononnya diarah tutup membabitkan DUN Rembia, Pantai Kundur, Rim, Klebang, Durian Tunggal, Asahan, Duyong, Paya Rumput, Bukit Katil, Pengkalan Batu, Tanjung Bidara dan Telok Mas.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM), mengeluarkan notis penutupan premis ke atas Pusat Gerakan PN DUN Telok Mas, berkuatkuasa semalam sehingga 26 November ini.

Notis penutupan itu dikeluarkan berikutan terdapat pengesanan kes Covid-19 dalam kalangan individu yang berada di premis itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Dr Rusdi Abd Rahman, semalam, dilaporkan berkata, pihaknya turut mengeluarkan notis kompaun RM10,000 selepas mendapati berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Notis kesalahan itu dikeluarkan kerana pihak yang terbabit tidak menyediakan pengimbas suhu di premis seperti yang diarahkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.