Serba Dinamik ada 30 hari pembayaran kupon untuk sukuk USD300 juta

Serba Dinamik ada 30 hari pembayaran kupon untuk sukuk USD300 juta

Serba Dinamik turut memberikan jaminan ia tidak berniat mengingkari pembayaran kupon dan telah mengambil segala langkah perlu bagi membetulkan perkara itu dalam tempoh ditetapkan.

Syarikat minyak dan gas itu berkata jumlah bayaran hanya melibatkan bayaran kupon sebanyak USD7.0 juta (RM29 juta) dan bukan USD9.45 juta (RM39 juta) seperti telah dilaporkan.
KUALA LUMPUR:
Serba Dinamik Holdings Bhd mengesahkan bahawa ia mempunyai tempoh 30 hari dari tarikh matang yang tidak dibayar bagi menjelaskan kewajipan kupon yang tertunggak sebelum mencetuskan sebarang pembubaran.

Syarikat minyak dan gas itu dalam respons kepada artikel bertajuk “Serba Dinamik Terlepas Bayaran Kupon Sukuk USD300 juta” yang diterbitkan oleh harian kewangan tempatan pada Khamis lepas berkata ia menafikan jumlah bayaran dalam laporan berkenaan, yang sebenarnya hanya melibatkan bayaran kupon sebanyak USD7.0 juta (RM29 juta) dan bukan USD9.45 juta (RM39 juta).

Pembayaran kupon untuk sukuk dalam denominasi dolar US selama tiga tahun itu akan dibayar pada 9 Nov.

Serba Dinamik turut memberikan jaminan bahawa ia tidak berniat untuk mengingkari pembayaran kupon dan telah mengambil segala langkah yang perlu bagi membetulkan perkara tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Serba Dinamik telah mendapatkan nasihat daripada peguam undang-undang kami, serta menulis kepada ejen sukuk untuk memaklumkan kepada pemegang sukuk mengenai jumlah yang sebenarnya.

“Kami ingin menjelaskan bahawa, di bawah terma perjanjian, Serba Dinamik mempunyai tempoh 30 hari dari tarikh yang tidak dibayar bagi membayar obligasi kupon yang tertunggak sebelum mencetuskan sebarang acara pembubaran,” katanya.

Tranche bon akan matang dalam tempoh enam bulan pada 9 Mei 2022.

Serba Dinamik memberi jaminan bahawa kumpulan itu komited untuk memenuhi pembayaran tersebut tertakluk kepada penerimaan daripada pelanggannya.

Ia juga secara proaktif melibatkan semua pihak berkepentingan bagi menyampaikan maklumat terkini dan penjelasan apabila diperlukan.

Saham Serba Dinamik diniagakan kali terakhir pada 22 Okt lepas pada harga 35 sen, dengan modal pasaran sebanyak RM1.3 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.