
Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata, prosedur operasi standard (SOP) adalah jelas membabitkan larangan “walkabout”, termasuk berkempen secara fizikal pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
“Kami sudah mengeluarkan notis kompaun kepada individu berkenaan kerana mengambil bahagian dalam ‘walkabout’. Ia tidak dibenarkan mengikut SOP.
“Apabila anda memakai pakaian disertai logo parti politik, ia termasuk dalam elemen berkempen,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, notis kompaun dikeluarkan terhadap seorang individu yang dikatakan sukarelawan Pakatan Harapan (PH) kerana memakai jaket parti ketika berada di sebuah warung di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah.
Individu berkenaan disaman RM4,000 pada Rabu dan diarahkan menyelesaikan kompaun terbabit pada 25 Nov atau berdepan tindakan mahkamah.
Sebelum ini, polis Melaka mengeluarkan kompauan RM10,000 kepada parti yang mengadakan “ceramah bergerak” walaupun tiada kelompok hadirin hadir, pada 30 Okt.