Murid Tahun 4, pejalan kaki maut dirempuh MyVi

Murid Tahun 4, pejalan kaki maut dirempuh MyVi

Kereta dipandu seorang lelaki dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh mangsa.

Kereta Perodua MyVi dipandu seorang lelaki dipercayai hilang kawalan lalu merempuh mangsa yang menaiki basikal elektrik bersama sepupunya. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang menaiki basikal elektrik maut dirempuh Perodua Myvi dalam kejadian di Setiu, Terengganu, 7.20 malam tadi.

Perodua MyVi dipandu lelaki berusia 36 tahun dipercayai datang dari arah Telaga Papan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan yang turut menyebabkan seorang pejalan kaki maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Afandi Hussin berkata, mangsa yang maut adalah Muhammad Adif Danial Azman, dan pejalan kaki, Azuka Muhamad, 46.

“Kereta Perodua MyVi itu turut melanggar sebuah Proton Wira di bahu jalan sebelum melanggar seorang pejalan kaki (Azuka) .

“Kejadian itu menyebabkan mangsa terpelanting ke atas sebuah kereta Proton Persona di bahu jalan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Ketika kejadian, Muhammad Adif Danial bersama sepupunya, Ahmad Syahiran Saiful Razali, 13, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bukit Putera selepas menyaksikan pertandingan bola sepak berhampiran rumah mereka.

Afandi berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat manakala Ahmad Syahiran yang parah dirawat di hospital sama.

Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.