
Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi negara mencatatkan kemerosotan lebih tinggi sebanyak -3.6% berbanding -1.9% pada suku sebelumnya.
Dalam kenyataan, Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, penguncupan itu sebahagian besar berpunca daripada langkah pembendungan ketat terutama pada Julai bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi mencatatkan penguncupan dengan sektor pembinaan mencatatkan penguncupan terbesar disebabkan oleh kapasiti operasi yang terhad.

“Dari segi perbelanjaan, permintaan dalam negeri terjejas dan menurun sebanyak 4.1% (S2 2021: +12.4%), terutamanya disebabkan oleh penguncupan dalam aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta,” katanya ketika membentangkan laporan prestasi suku tahunan.
Namun beliau berkata, perbelanjaan penggunaan sektor awam yang terus meningkat memberikan sokongan kepada pertumbuhan.
“Kelonggaran langkah pembendungan secara berperingkat dan keadaan pasaran pekerja yang terus bertambah baik akan menjadi faktor penting bagi menyokong pemulihan pada masa hadapan,” katanya.
Mengenai ringgit, Shamsiah berkata, mata wang negara itu menyusut nilai sebanyak 0.8% berbanding dengan dolar AS pada suku ketiga 2021.
“Penyusutan ini sebahagian besarnya mencerminkan pengukuhan dolar AS secara meluas berikutan penjelasan yang lebih terperinci daripada Rizab Persekutuan AS bahawa program pembelian asetnya akan mula dikurangkan menjelang akhir tahun ini.
“Sejak 1 Okt, ringgit menambah nilai sebanyak 0.9% (setakat 9 Nov) berbanding dolar AS, sejajar dengan trend mata wang serantau yang lain,” katanya.
Menyentuh mengenai prospek ekonomi tahun ini, beliau berkata, ekonomi dalam negeri berada pada landasan untuk berkembang sebanyak 3.0% hingga 4.0%.
“Pertumbuhan akan disokong oleh kegiatan ekonomi yang bertambah baik memandangkan langkah pembendungan telah dilonggarkan secara berperingkat, di samping sokongan dasar yang berterusan.
“Pelbagai pelonggaran sekatan diberikan kepada individu yang menerima vaksin lengkap, termasuk kebenaran untuk perjalanan rentas negeri yang turut merangsang aktiviti berkaitan dengan pelancongan,” katanya.
Menjelang 2022, Shamsiah berkata, pertumbuhan Malaysia dijangka bertambah baik pada kadar antara 5.5% dan 6.5% berikutan penyambungan semula kegiatan ekonomi, pasaran pekerja yang terus bertambah baik, sokongan dasar berterusan dan pengembangan dalam permintaan luaran.
“Kemajuan dan keberkesanan pemberian vaksin, pematuhan SOP serta keupayaan untuk membendung penularan wabak dengan berkesan daripada mana-mana varian baharu Covid-19 yang membimbangkan akan menjadi kunci penting kepada pemulihan yang dihasratkan.”